Berbekam mungkin dilihat sebagai kaedah rawatan yang
mengerikan bagi segelintir individu yang fobia terhadap darah. Tidak kurang
juga ada yang ngeri apabila mengenangkan mereka perlu menanggung rasa pedih
pada kulit ketika jurubekam melakukan proses vakum bagi mengumpulkan darah
dalam cawan (cup) sebelum bekam dimulakan.
Ketakutan bertambah apabila memikirkan jarum menusuk ke
kulit dan kesan luka pula divakum untuk mengeluarkan darah kotor yang berada di
bawah permukaan kulit, mengalir masuk ke dalam cawan sewaktu proses bekam
dijalankan.
Barangkali disebabkan ketakutan tersebut, kaedah rawatan ini
dalam masyarakat Malaysia seolah-olah dilihat ‘kurang popular’ meskipun telah
dibuktikan melalui penyelidikan saintifik.
Menurut Ketua Penyelidik Bekam Klinikal, Pusat Pengajian
Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian Kelantan, Prof.
Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail, satu kajian mengenai kesan bekam ke atas
pengurangan risiko penyakit jantung melibatkan kumpulan individu yang sihat dan
bagi kelompok yang mengalami masalah diabetes dan darah tinggi telah
dijalankan.
Kajian ini dilakukan pada Oktober 2011 hingga Februari 2014
di bawah Geran Penyelidikan yang diberikan oleh Kementerian Sains Teknologi dan
Alam Sekitar.
Tujuan penyelidikan menurut Dr. Ab. Aziz untuk mengenal
pasti kesan terapi bekam basah dalam kalangan subjek, tekanan darah, parameter
biokimia, fungsi ginjal dan fungsi endotelial (lapisan dalam salur darah).
Kaedah Kajian
Sebanyak 93 responden berusia antara 30 dan 60 tahun telah
menyertai kajian, iaitu 62 responden tiada penyakit kronik yang telah dibahagi
secara rawak dan seimbang kepada kumpulan kontrol dan kumpulan intervensi.
Manakala bagi kumpulan diabetes melibatkan 31 peserta.
Bekam klinikal dilakukan ke atas subjek dalam kumpulan
intervensi dan kumpulan diabetes, manakala tiada intervensi dijalankan bagi
individu dalam kumpulan kawalan.
Katanya, semua peserta telah menjalani dua sesi berbekam
klinikal iaitu pada permulaan kajian dan pada bulan ketiga. Berdasarkan
kedua-dua sesi tersebut penilaian kajian telah dibuat merangkumi permulaan
kajian, bulan pertama, bulan ketiga (sebelum sesi kedua bekam) dan bulan ke
empat untuk semua peserta.
“Kumpulan bekam difokuskan kepada kelompok tidak menghidap
diabetes, menunjukkan terdapat penurunan signifikan paras gula dalam darah
semasa berpuasa (FBS) dan semua parameter fungsi ginjal, iaitu serum urea,
kreatinin dan asid urik dari permulaan kajian hingga bulan pertama, ketiga dan
keempat menunjukkan penurunan.
Serum trigliserida iaitu sejenis lemak dalam darah dan
tekanan darah sistolik (SBP -bacaan tekanan apabila jantung mengepam darah ke
seluruh badan) juga menunjukkan penurunan yang signifikan di bulan pertama.
“Semua profil serum lipid mengandungi pelbagai jenis lemak
dalam darah kecuali trigliserida menunjukkan penambahbaikan yang signifikan
pada bulan ketiga dan keempat. Faktor Antigen Von Willebrand (VWF) iaitu
sejenis bahan yang menentukan keanjalan salur darah turut menunjukkan penurunan
yang signifikan pada bulan keempat.
“Di akhir kajian, semua profil serum lipid, FBS, serum urea
iaitu paras urea dalam darah dan bahan yang menentukan kesihatan buah pinggang.
Jika bacaannya lebih daripada 10, itu menandakan buah pinggang tidak sihat.
Dan, kreatinin (satu lagi jenis bahan dalam darah yang menentukan kesihatan
buah pinggang dan jika bacaannya lebih 600, rawatan dialisis mesti dilakukan)
bertambah baik secara signifikan berbanding dengan kumpulan kawalan,” kata Dr.
Ab. Aziz.
Rumusan Kajian
Penilaian terhadap kumpulan penghidap diabetes pula
mendapati, FBS, tekanan darah dan semua parameter fungsi ginjal menunjukkan
penurunan yang signifikan pada bulan pertama, ketiga dan keempat.
Paras kolesterol peserta bekam secara keseluruhan juga
menunjukkan penurunan yang ketara pada bulan ketiga dan ke empat. Bagi serum
HDL-C dan LDL-C (kedua-duanya sejenis lemak dalam darah) dan antigen VWF (sama
seperti 5), perubahannya dapat dilihat pada bulan keempat.
“Kajian ini mendapati, selain mengamalkan gaya hidup yang
sihat seperti senaman, mengambil makanan yang seimbang dan tidak merokok,
rawatan berbekam boleh diamalkan sebagai salah satu kaedah perubatan
alternatif bagi membantu mencegah berlakunya penyakit kardiovaskular,” ujar
beliau.
Menurut Prof. Dr. Ab Aziz lagi, kajian pihaknya mendapati bekam membantu merawat penyakit lain seperti migrain, sinusitis kronik (resdung),
buah pinggang, angin ahmar dan vertigo (penyakit ketidakseimbangan dalam
telinga).
Rawatan bekam boleh diambil bersama dengan rawatan
perubatan biasa yang diambil oleh pesakit yang dibuat secara berterusan (setiap
bulan atau empat bulan sekali) untuk mengurangkan risiko penyakit-penyakit
kronik.
Pesakit yang menjalani rawatan bekam perlu membuat
penilaian penyakit mereka secara berkala (perlu ubahsuai dos ubat atau rawatan
yang diambil) sesuai dengan keadaan semasa.
Tiada Kesan Sampingan
Menurut beliau, kebaikan yang amat ketara mengenai rawatan bekam yang diberikan ialah tidak ada kesan sampingan, tiada risiko jangkitan penyakit atau
berlakunya pendarahan yang tidak terkawal.
Sebelum menjalani rawatan, katanya, pesakit hendaklah
memastikan tahap kesihatan yang optimum seperti paras darah (Hb) yang mencukupi
- tidak terlalu pucat, tidak mengalami keadaan hypoglisemia (paras gula dalam
darah terlalu rendah) kurang dari 5 mmol/L dan tidak mengambil ubat untuk
mencairkan darah seperti cardiprin, atau walfarin.
Katanya lagi, berbekam sebaik-baiknya dilakukan sebelum makan
atau sekurang-kurangnya dua jam selepas makan.
Jurubekam juga perlu dimaklumkan sekiranya menghidap
penyakit berjangkit yang berbahaya seperti HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C.
Ini penting supaya jurubekam boleh mengasingkan peralatan
yang digunakan oleh pesakit-pesakit tersebut untuk mengelak jangkitan penyakit
berbahaya ini kepada orang lain.
Menangani Tanggapan Negatif
Bagaimanapun, untuk menangani stigma negatif segelintir
masyarakat bahawa bekam hanya merupakan rawatan alternatif semata-mata,
penerangan dalam pelbagai bentuk media perlu dilakukan untuk memberi maklumat
tentang kebaikan dan kelebihan rawatan tersebut.
Jelasnya, pihak media boleh menyalurkan maklumat bahawa
berbekam adalah setanding bahkan lebih baik daripada rawatan konvensional,
tiada kesan sampingan dan cepat memberi kesan. Ia juga tidak menyebabkan
berlakunya jangkitan penyakit dan tiada risiko yang berbahaya kepada pesakit.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihaknya, Dr. Ab. Aziz
berkata, tidak hairanlah berbekam adalah satu cara pengubatan yang disukai dan
digalakkan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana bekam merupakan satu kaedah nyah
toksik untuk mengeluarkan darah yang mengandungi racun yang berbahaya dari
badan melalui permukaan kulit.
Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari, bersabda yang bermaksud: Dari Ibnu ‘Abbas r.a: Dari Nabi Muhammad SAW:
“Kesembuhan dari penyakit itu ada tiga hal: Berbekam, minum madu dan dibakar
dengan besi panas. Tetapi aku melarang umatku membakar dengan besi panas itu.”
(Riwayat Bukhari).
Sumber : Utusan Malaysia (20 Okt 2015)
Damai Bekam, Alam Damai Cheras, KL. 0132431334, 0193149115